...
Jom Selawat Kepada Rasulullah
Pernahkah kita terfikir mengapa kita berselawat kepada Rasullullah? Ada yang mengatakan dulu ustaz ada suruh selawat, jadi saya selawat. Kita berselawat tanpa mengetahui sebab kita selawat. Islam mesti dilaksanakan dengan nas Al-Quran dan Sunnah Rasulullah, jika tidak maka tidak menjadi ibadat tetapi sekadar adat. Ajaran Islam bukan boleh diamalkan dengan mengikut sahaja tanpa mengetahui adakah ia diperintah oleh Allah dan Rasulullah atau tidak.
Sebenarnya kita berselawat kerana Allah dan Rasulullah memerintah kita selawat.
Firman Allah :
إِنَّ اللَّهَ وَ مَلَئكتَهُ يُصلُّونَ عَلى النَّبىِّ يَأَيهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صلُّوا عَلَيْهِ وَ سلِّمُوا تَسلِيماً
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkan salam kepadanya.” (Al-Ahzab | 33: 56)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .” [ Sila rujuk HR Abu Daud, Riyadus Solihin, 1398, Sahih menurut Imam Nawawi ]
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [Sila rujuk HR Abu Daud dan Ahmad,Riyadus Solihin -1398,Sahih menurut Imam Nawawi ]
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [Sila rujuk Sahih Muslim-0408]
Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [Sila rujuk HR An-Nasaie-1271 ]
Abdullah ibnu Masud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan Gharib. Riyadus Salihin -1395 ]
Hussain bin Ali memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya mereka berdua) bahawa Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda :”apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami(para sahabat) menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah (selawat Allah dan salam ke atasnya) meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tiada ia berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!”
[Sila rujuk HR At-Tirmizi,Misykat Al-Masbih-3/299,no : 311.Riyadus Salihin -1440. Imam At-Tirmizi berkata hadith ini adalah sahih. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]
Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya) berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”
[Sila rujuk kitab Al-Mu’jam Al-Ausat oleh Imam Ath-Thabrani. Hadith Hasan]
Abu Hurairah (semoga Allah meredhainya) berkata,Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda : “Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka.melainkan mereka pasti akan ditimpai padah(penyesalan). Maka jika Allah kehendaki ,Dia akan seksa mereka ; dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-3440 ]
Di dalam satu riwayat yang lain ,hadith ini di akhiri dengan: “……..mereka akan ditimpa penyesalan di hari Kiamat; sekali pun mereka dapat memasuki syurga bagi pahala amalan-amalan lain yang mereka kerjakan.” [Sila rujuk Musnad Imam Ahmad. Disemak semula sebagai Sahih oleh Imam Al-Hakim, Adz-Dzahabi dan Al-Haitami]
Semoga kita melaksanakan setiap amalan kita bukan sekadar ikut-ikutan tetapi amalan yang kita lakukan menjadi ibadat yang diterima oleh Allah. Sama-samalah kita perbanyakkan selawat tanda cinta kita kepada Rasulullah kekasih hati setiap orang mukmin.