...

Bagaimana Cara Untuk Mengingati Allah


Mengingati Allah itu adalah satu kewajipan, bukan pilihan. Namun ramai orang sering tertanya-tanya, bagaimana untuk mengingati Allah sedangkan kita tidak pernah melihat-Nya, tidak pernah mendengar-Nya dan tidak tahu bagaimana rupa Allah itu sendiri. Alangkah sukarnya mengingati satu zat yang kita sendiri tidak dapat untuk menggambarkannya.

Berbeza pula dengan kekasih hati kita,
dia punyai wajah yang kita suka, punyai sifat yang kita sayang dan memiliki jasad yang kita cintai. Dengan itu kita lebih mudah menyayanginya, mencintai dan mengingatinya sepanjang masa. Tidak perlu dibuat dan tidak perlu disuruh, ingatan dan rindu kepadanya hadir sendiri tanpa sebarang paksaan.

Kerana itulah apabila berlakunya perselisihan faham dengan kekasih, kita akan menangis, sedih, terasa sepi dan hidup seolah-olah tiada ertinya lagi. Sebaliknya apabila kita meninggalkan solat, terlupa untuk berzikir kepada Allah, melakukan dosa dan menikmati kehidupan yang bahagia, tidak pula kita terasa sedih dan menangis samada kerana takutkan dosa atau bersyukur atas kurniaan-Nya.

Zalimkah Kita Kerana Tidak Mampu Mengingati-Nya?

Ya! Sangat zalim! Fikirkan kembali, siapa yang menghidupkan kita? Siapa yang memberikan jasad kepada kita? Siapa yang memberikan rasa kasih sayang yang kita curahkan pada kekasih kita itu? Siapa yang mewujudkan kekasih kita itu dalam dunia ini? Siapa yang menjadikannya secantik itu? Siapa yang memberikan udara yang sedang kita hirup sekarang? Siapa yang membenarkan kita berpijak pada bumi ini? Siapa yang memberikan tenaga untuk menggerakkan setiap langkah kaki kita? Siapa yang memberikan kita mata untuk melihat? Siapa? Siapa dan siapa???

Maka cukuplah memberi alasan bahawa kita tidak dapat mengingati Allah kerana tidak dapat menggambarkan Allah itu bagaimana. Lihat sahaja jasad yang kita miliki, hidup yang kita lalui dan keindahan alam ini, semuanya adalah pemberian dari Allah. Ingat saja kebesaran dan segala pemberian-Nya, maka kita akan mengingati-Nya.


Antara Firman Allah tentang kewajipan mengingati-Nya:
1). QS. Al Baqarah (2) : 152 :
Karena itu ingatlah kamu kepada-KU niscaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-KU, dan janganlah mengingkari (nikmat)-KU”

2). QS.Taha (20) : 14 :
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dandirikanlah sholat untuk mengingat Aku”.

3). QS. Al Jumuah (62) : 9 :
Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari jumaat, maka bersegerahlah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itulebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Sebenarnya tidak susah untuk mengingati Allah, hanya dengan bersyukur dan sentiasa ingat bahawa semua yang ada dalam dunia ini adalah milik Allah. Bukan setakat sesuatu yang berjisim tetapi nasib dan perjalanan hidup kita itu juga merupakan milik Allah. Jika kita sedar diri, kita tidak akan rasa sombong dan tidak akan menghadapi sebarang masalah lagi untuk melihat hidup ini dari kaca mata seorang hamba-Nya.

Sebaliknya jika kita melihat hidup ini seolah-olah diaturkan sendiri oleh kita, hidup seseorang pula bergantung pada nasib dan semua yang berlaku atas dunia ini adalah secara semulajadi, maka kita akan lupa kebesaran Allah. Padahal tiada sesuatu pun atas dunia ini akan berlaku melainkan dengan izin-Nya.

Mungkin sekarang anda sedang membaca artikel ini, tetapi percayalah tanpa izin Allah anda tidak akan dapat membaca artikel ini. Allah boleh pilih siapa yang akan membaca dan siapa yang tidak akan membaca artikel ini. Justeru itu bersyukurlah dipilih oleh Allah untuk membaca sesuatu yang ditulis untuk mengingati-Nya. Dan ‘syukur’ itu adalah satu cabang dari langkah-langkah untuk kita sentiasa mengingati Allah.

Allah telah berfirman dengan jelas dalam Al-Quran:
           “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (QS. Ar Ra’du : 28)

Itulah langkah yang paling baik untuk mendapat ketenangan dalam hidup. Dengan mengingati Allah, si kaya akan merasa syukur, tidak berlagak, tidak sombong dan sering menolong orang lain. Semua kekayaan miliknya dirasakan hanyalah sekadar pinjaman. Semua adalah milik Allah. Manakala si miskin pula sentiasa redha. Usaha diteruskan demi memperkukuhkan hidup, apa yang diperolehinya itulah rezekinya. Hidupnya tenang, aman dan damai.

Orang yang dizalimi pula merasa tenteram. Dirinya sedar semua itu adalah ujian dan dia ada Allah untuk melindungi dirinya. Orang yang dijulang pula merasa rendah diri. Kurniaan Allah kepadanya membuatkan dirinya diangkat tinggi oleh masyarakat. Namun dirinya sedar semua itu adalah hak Allah, dia cuma meminjamnya untuk memimpin masyarakatnya ke arah kebaikan.

Tapi Bagaimana Untuk Mewujudkan Keyakinan Bahawa Semua Ini Adalah Milik Allah?

Tak kenal maka tak cinta. Untuk mengenal Allah tidak sama seperti kita mengenal manusia. Allah itu tuhan yang maha esa. Tidak boleh dipandang dan dibuat andaian tentang jasad dan kekuasaan-Nya. Jika ingin mendekati seorang raja terdapat pelbagai adab dan tertib, maka untuk mengenali raja kepada semua raja dan tuhan seluruh alam sudah tentulah terdapat adab dan tertib yang lebih sempurna.

Hati kita perlu dilatih untuk yakin dan sentiasa mengingati-Nya. Antara latihan yang perlu kita lakukan ialah:

Zikrullah
Berzikirlah kepada Allah sepanjang masa. Setiap detik apabila kita keseorangan, sewaktu tidak bercakap atau dalam keadaan apapun, sebutlah di dalam hati ‘Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar’. Ini adalah latihan seumur hidup. Pada awalnya mungkin kita akan sentiasa terlupa untuk sentiasa menggetarkan hati menyebut kalimah-kalimah ini, tetapi setelah lama kita amalkan, InsyaAllah kita akan rasa bersalah dan sedih apabila meninggalkannya.


Solat

Sesiapa yang tidak meninggalkan solat dalam keadaan apapun pasti akan resah gelisah apabila sekali tertinggal amalan wajib ini. Sebaliknya siapa yang acuh tak acuh menunaikannya akan leka dengan dunia. Jangan salahkan Allah jika kita tidak berjaya mengingati-Nya sedangkan kita sendiri sambil lewa saja mengamalkan perintah-Nya. Bagi mereka yang cinta kepada Allah, tentunya sentiasa seronok menunaikan solat. Malah ditambah pula dengan amalan solat-solat sunat yang lain.


Membaca, Mempelajari & Mengamalkan Al-Quran.

Al-Quran adalah kalam Allah, tidak ada perkara yang paling dekat antara kita dengan Allah melainkan Al-Quran. Jika kita tidak menghampiri Al-Quran dengan membaca, mempelajari dan mengamalkan apa yang disarankan di dalamnya, apa lagi bukti kita ingin mengingati Allah?



Bersyukur  & Yakin Dengan Pertolongan Allah

Rasa syukur itu hadir apabila kita yakin dengan kekuasanan Allah. Yakin semua yang kita ada dalam dunia ini adalah milik Allah. Jika keyakinan itu masih kurang, maka pedulikanlah rasa itu, teruskan dengan rasa yakin itu biarpun kadang-kadang terasa gundah. Hati kita perlu dilatih. Keyakinan yang goyang itu hadir dari syaitan semata-mata. Abaikan hamba Allah yang derhaka itu.

Renung Tanda-Tanda Kebesaran Allah

Dunia ini sudah cukup luas dan menakjubkan untuk kita merenung dan meneliti kehebatan dan kebesaran Allah. Sesekali lihatlah keindahan alam. Tak perlu keluar rumah, dalam internet seperti youtube pun boleh tengok video-video kebesaran Allah. Tonton, renungkan dan hayatilah kesemua video-video yang baik itu.
Allah tidak akan sesekali mengabaikan orang yang ingin mendekati-Nya. Selangkah kita cuba mendekati Allah, seribu langkah Allah akan menghampiri kita. Namun rasa hampir itu hanya wujud dalam hati dan ia hanya dapat dirasai antara kita dengan Allah.