...

Membuang Sifat Ujub

Tiada Seorang Pun Masuk Syurga Kerana Amalan Ibadahnya

“Dengan engkau kami tidak boleh mencapai (tujuan), Tetapi perlu dengan engkau” inilah kata-kata Syeikh Abdul Qadir Jailani seorang ulamak Sufi yang terkenal. Kata-kata beliau ini dipetik oleh Imam Hadad didalam bukunya “An-Nasaih Ad-Diniah wal Wasaya Imaniah”.

Maksud daripada lafaz kata tersebut ialah kita sebagai manusia sebenarnya tidak boleh berpandangan bahawa kita masuk syurga kerana banyaknya amalan kita sedangkan hakikatnya kerana rahmat Allah sahajalah kita digolongkan golongan yang soleh dan dimasukkan kedalam syurga.

Namun demikian, ini tidaklah bermaksud kita bebas untuk tidak beribadat kepada Allah S.W.T dan sekadar menjadi orang yang berharap kepada rahmat Allah. Justeru itu dalam rangkap yang kedua ayat kata Syeikh Abdul Qadir Jailani beliau menegaskan bahawa untuk mencapai rahmat Allah kita perlu beribadat dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

Seburuk-buruk angan-angan dan pengharapan ialah mengimpikan keampunan dan keredhoan Allah sedangkan dirinya bermalas-malasan untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dalam satu hadis ada dinyatakan:

“Empat petanda kerosakan hati: Keras hati, Kerasnya air mata, Berkira-kira, Panjang angan-angan”

Berdasarkan hadis tersebut jelaslah bahawa mereka yang mengharap rahmat Allah tanpa beramal adalah mereka yang rosak hatinya dan telah tertipu oleh perasaan mereka sendiri. Malah berhubung isu ini, Hassan al-Basri seorang tabiin yang dikenali sebagai ahli hadis, ahli feqah dan ahli tasawuf pernah melalui seorang pemuda yang sedang bermain-main dengan tanah sambil berangan-angan dengan kata-kata pengharapan semoga Allah memberikannya bidadari disyurga nanti. Lalu Hassan al-Basri mengkritik pemuda tersebut kerana tertipu dengan perasaan diri sendiri.

Merujuk kepada doa yang dipetik dari hadis Nabi Muhammad S.A.W:

“Wahai yang membolak balikkan hati, tetapkanlah kami atas Agamamu”

Hadis ini memberi gambaran bahawa hanya dengan rahmat Allah kita dapat kekal diatas agamanya dan memperoleh keredhoannya. Sebab hati ini milik Allah bila-bila masa sahaja hati kita yang putih boleh bertukar hitam dan yang hitam boleh bertukar menjadi putih.

Melalui kefahaman yang benar berhubung sebab kita dimasukkan syurga atau mendapat keredhoaan Allah maka akan terhapuslah perasaan ujub diri dengan ibadah yang kita lakukan. Setiap ibadah yang kita lakukan pula akan bertambah lagi kekhusyukan serta keikhlasannya keran sedar bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan ibadat untuk mendapat rahmat disisi Allah.

Membuang perasaan ujub terhadap ibadah yang kita lakukan adalah perkara yang amat penting kerana menurut Imam Al-Ghazali didalam kitabnya “Minhajul Abidin” antara faktor penyebab kematian “suu’l khotimah” ialah tertipu dengan amalan sendiri. Hanya mereka yang menyedari bahawa diri yang banyak beribadat bukanlah jaminan pengakhiran yang baik sahaja dapat membuangkan perasaan ujub ini.

Secebis lontaran pemikiran ulamak –ulamak ini dilontarkan untuk-untuk sahabat-sahabat agar tidak berpuas hati dengan amalan yang kita lakukan.