Seringkali kita mengeluh dan mengadu, mengapa Allah tidak habis-habis
menguji kita. Malahan diberi-Nya ujian yang sama setiap kali. Setelah
satu, maka datang pula satu lagi masalah. Setelah habis dicuba dengan
ujian yang merumitkan, didatangkan pula ujian yang menyesakkan dada. Sungguh
indah perancangan Allah dalam mentarbiyah manusia. Allah yang Maha
Mengetahui menguji manusia pada titik-titik kelemahan diri kita. Pada
titik-titik yang lemah itulah, bertubi-tubi Allah datangkan ujian kepada
hamba-Nya.
Di ruang-ruang yang lemah itu Allah datangkan ujian maha
berat sehingga manusia merasakan dia tidak lagi terdaya memikulnya. Allah
menciptakan manusia dengan kelemahan, namun Allah tidak membiarkan kita
terus menerus hidup dalam kelemahan tersebut. Maka Allah datangkan
ujian bertimpa-timpa pada titik kelemahan tersebut sebagai latihan untuk
membina sebuah kekuatan.
Bagaimana?
Seseorang individu
yang lemah dalam akademik, maka pada titik akademik itulah Allah
mengujinya berkali-kali. Sahabat-sahabat kita ramai yang diuji Allah
pada titik akademik. Bukan sekali sahaja mereka diuji, namun
berkali-kali. Ada yang mengalami kegagalan dalam ‘Continous Assessments’ kemudian dalam peperiksaan Akhir musim panas Allah menguji lagi dengan kegagalan walaupun telah berusaha keras.
Ada
pula yang dipanggil ke ‘Viva’ namun masih gagal dan perlu mengharungi
ujian musim luruh. Setelah berusaha keras menelaah, masih Allah menguji
dengan kegagalan dalam peperiksaan itu sehingga perlu mengulang semula
tahun pembelajaran. Malah, ada yang bukan pertama kali perlu mengalami
kitaran ujian tersebut, bahkan mungkin pada tahun kedua mahupun tahun
ketiga. Di titik akademik itulah Allah berkali-kali datangkan ujian pada
mereka agar dengan adanya ujian-ujian itu mereka lebih kuat dan mantap
pada sebuah pengharapan. Ya, berharap pada Allah setiap kali ujian
datang menjengah.
Seseorang indiviu yang diuji Allah dengan kekurangan harta, maka pada
titik harta itulah Allah berterusan mengujinya. Allah uji dengan
ketidakcukupan wang dan harta. Allah uji dengan kesempitan rezeki. Allah
uji dengan pelbagai masalah yang membutuhkan wang yang banyak.
Seringkali
kita tonton drama kehidupan manusia dalam drama-drama di kaca
televisyen mahupun layar perak, babak-babak kehidupan manusia yang diuji
dengan harta sering dipaparkan. Pelbagai drama ujian melanda seorang
yang miskin, diuji dengan kesempitan wang, kemudian diuji pula dengan
kehilangan pekerjaan, kemudian diuji pula dengan ahli keluarga yang
sakit yang memerlukan belanja besar dan ujian-ujian susulan yang
memerlukan wang yang banyak.
Seseorang individu yang lemah dalam
perhubungannya sesama manusia, diuji oleh Allah dengan pelbagai masalah
melibatkan hubungan sesame manusia. Ada yang diuji dengan penceraian
antara suami isteri, ada pula yang diuji dengan pertelingkahan sesame
ahli keluarga, ada yang berkelahi anta jiran tetangga ada pula sahabat
baik yang diuji dengan perselisihan, dan ada juga yang dikeruhkan
hubungan antara pemimpin dengan mereka yang dipimpin. Malah, ada pula
pasangan yang bercerai diuji pula dengan hubungan dengan anak-anak yang
kian merenggang dan sebagainya. Dititik kelemahan itu Allah datangkan
dengan pelbagai ujian yang berat untuk ditanggung manusia.
Seseorang
individu yang lemah dalam ketaatan kepada Allah dan terjerumus ke
lembah maksiat, maka pada titik maksiat itu Allah mengujinya berulang
kali. Allah mengujinya dengan bakaran nafsu yang menyala, dan bisikan
syaitan yang menggoda berkali-kali sehingga tewas ke lembah maksiat itu.
Adapun, yang cuba bertaubat dan kembali kepada jalan Allah, namun,
nafsu dan bisikan syaitan memanggil-manggil untuknya terjun ke lembah
maksiat. Maka tiap kali itulah dia tewas dan kembali ingin bertaubat.
Namun, Allah datangkan godaan demi godaan sebagai ujian sehingga manusia
tewas. Kemudian dia kembali bertaubat, namun, masih lagi Allah
mendatangkan kebaikan kepadanya sehingga hamper-hampir sahaja berputus
asa dalam kemaksiatan.
Begitu jugalah dengan ujian-ujian Allah
dari aspek kelemahan yang lain. Persoalannya, mengapakah Allah menguji
kita berulang-ulang kali pada titik kelemahan yang sama malah
bertubi-tubi Allah datangkan ujian sehingga kita hampir berputus asa.
.........................................................................................................................................
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Sekiranya Allah menginginkan kebaikan untuk seseorang itu, Allah akan mengujinya dengan kesusahan” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
..........................................................................................................................................
Maka, ujian yang Allah datangkan itu sebenarnya adalah untuk
memberikan kebaikan kepada kita. Allah sebenarnya ingin memberi kita
kekuatan dan menghilangkan dari kita kelemahan-kelemahan tersebut. Maka,
Allah menguji kita pada titik yang lemah itu, agar dengan ujian itu,
titik lemah itu akan menjadi salah satu kekuatan bagi individu tersebut.
Allah ingin mentarbiyah manusia untuk memperbaiki kelemahan diri, maka
Allah datangkan cubaan sebagai guru untuk mendidik. Untuk mengubah
suatu kelemahan kepada kekuatan, ia memerlukan masa dan konsistensi.
Seperti
air bias memecahkan batu setelah sekian lama menghempapnya, begitu
jugalah manusia, konsistensi melalui ujian tersebut adalah resipi untuk
mengubah kelemahan menjadi kekuatan. Tidak mudah bukan untuk mengubah
kelemahan diri. Bak kata pepatah inggeris ” Sometimes we have to learn it the hard way”
Buat mereka yang diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan,
bergembiralah wahai kalian, kerana melalui ujian itu Allah pasti
menginginkan agar kalian mendapat ilmu dan kefahaman. Melalui kegagalan,
kalian akan berusaha keras untuk menelaah, bukan sekali tetapi
berkali-kali untuk menguatkan ingatan dan kefahaman. Maka, sungguh Allah
memberi limpah karunia berupa ilmu dan kefahaman pada kalian,
...........................................................................................................................................
Sabda Baginda Rasulullah SAW;
“Barang siapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, Ia fahamkan kepadanya tentang agama” (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
..........................................................................................................................................
Buat mereka yang diuji dengan harta, maka bertabahlah, kerana pasti
Allah menginginkan kebaikan pada kalian. Berbahagialah dengan janji
Rasulullah pada kalian bahawa syurga itu menanti kalian sekiranya dengan
kemiskinan dan kesusahan itu, kalian bertakwa kepada Allah.
..........................................................................................................................................
Sabda Baginda Rasulullah SAW;
“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat
kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang
fakir miskin….” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)
...........................................................................................................................................
Buat mereka yang diuji melalui hubungan dengan manusia,
berbahagiahlah kalian, kerana Allah menginginkan kebaikan pada kalian
melalui jalan sabar. Pada ujian itu, Allah ingin mendidik kesabaran,
menetapkan hati dan mengukuhkan iman, moga dengan sabar itu, pintu
syurga terbuka buat kalian.
...........................................................................................................................................
Firman Allah yang bermaksud;
“… dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan
cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat
bersabar..” (Surah al-Furqan ayat 20)
...........................................................................................................................................
Buat mereka yang diuji Allah dengan jalan maksiat, maka berusaha
keraslah dan bersabarlah mengharunginya. Kerana sungguh pintu-pintu
taubat terbuka luas buat kita. Jangan sesekali berputus asa dari rahmat
Allah walaupun merasakan tidak terdaya dan lemas dalam dosa-dosa
durjana. Kembalilah kepada Allah.
...........................................................................................................................................
Firman Allah,
" Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri(dengan
perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat
Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya
Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani "(Surah Al-Zumar ayat 53)
............................................................................................................................................
Buat umat ini yang diuji Allah, semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menempuhinya dengan tabah dan sabar. Berdoalah.
.............................................................................................................................................
“Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “
Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak
pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”(Surah al-Baqarah ayat 250)
..............................................................................................................................................
...