Penyeksaan ditangguh kerana Allah sayang sedangkan orang terdekat sudah terkena
bala
AL-IMAM
Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya Al-Daa’ wal Dawaa’ berkata: “Kegembiraanmu dengan
perbuatan dosa, tertawamu ketika melakukan dosa, kesedihanmu saat tidak dapat
melakukan dosa, kesungguhanmu menutupi aib akibat dosa dan hatimu yang tidak
boleh gementar ketika Allah memandang dosamu, semua itu lebih berat di sisi
Allah melebihi timbangan dosa itu.”
Betapa
mudahnya kita melupakan dosa sedangkan Allah merekodkan segala-galanya untuk
sidang perbicaraan di akhirat. Bukankah sudah sampai kepada kita firman Allah
mengenai nasib manusia yang mudah melupakan dosanya.
Firman
Allah yang bermaksud: “Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang
bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata:
Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan
tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa
yang sudah mereka kerjakan ada tertulis dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang
juga pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)
Mengapa
manusia selalu mengulangi dosanya selepas bertaubat? Apakah kerana syaitan lebih
bijak menyelewengkan mereka dengan hujah bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha
Pengampun? Lalu mengapa orang bodoh itu tidak berfikir apakah tujuan diciptakan
neraka jika mereka semua kononnya boleh masuk syurga dengan cara
mempermain-mainkan pengampunan Allah?
Orang
yang benar-benar beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang sama dua kali dan
orang yang benar yakin dengan perhitungan hari akhirat pasti berusaha menjadikan
hari ini lebih baik daripada kelmarin dari segi peningkatan ilmu, iman dan
ibadat.
Jadi
panggilan apakah yang paling sesuai bagi mereka yang selepas bertaubat selalu
berbuat dosa kembali secara berulang? Agaknya mereka ini sesuai dipanggil dengan
sebutan hamba Allah yang tidak tahu malu.
Seorang
lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham: “Wahai Imam, aku ingin bertaubat dan
meninggalkan dosa tetapi aku selalu mengulangi dosaku, tunjukkanlah kepadaku
jalan yang mencegah aku bermaksiat lagi kepada Allah.”
Ibrahim
bin Adham berkata: “Jika engkau ingin bermaksiat janganlah engkau melakukannya
di atas bumi milik Allah ini. Lelaki itu bertanya: Lalu di manakah aku boleh
melakukannya? Ibrahim bin Adham menjawab: Keluarlah dari bumi-Nya. Dan jika
engkau masih ingin melakukan maksiat, jangan makan rezeki kurniaan-Nya. Lelaki
itu bertanya: Bagaimana aku boleh hidup tanpa rezeki daripada-Nya? Ibrahim
berkata: “Tidakkah engkau rasa malu hidup di atas bumi-Nya dan makan daripada
rezeki-Nya kemudian melakukan maksiat kepada-Nya?”
Mengapa
ramai hamba Allah yang sudah bertaubat di hadapan Kaabah, disaksikan masjid
Rasulullah SAW di sisi makamnya, dengan lelehan air mata yang menyesakkan dada
tetapi dengan sekelip mata mengulangi kembali perbuatan maksiat dan melupakan
janji setia kepada Allah yang diikat di lehernya?
Dia
ditipu oleh hasutan syaitan yang memanjangkan angan-angan bahawa dengan hartanya
dia boleh 10 kali lagi mengerjakan haji dan menambah amal salih. Tetapi dia lupa
sihat dan sakit, ajal dan maut di tangan Allah yang tidak mungkin dibeli dengan
harta dan kedudukannya. Bagaimana jika Allah mencabut nyawanya dalam keadaan dia
bermaksiat?
Begitu
pula ketika seseorang ditimpa musibah, serta-merta dia ingat kepada Allah dan
cepat bertaubat, tetapi dengan sedikit saja harta dan keuntungan yang Allah
tambahkan, dia sudah pun lupa dan lalai kerana tidak tahan dengan ujian harta
itu, akhirnya dia bermaksiat kembali tanpa rasa malu.
Jelaslah
betapa pentingnya seorang hamba memiliki rasa malu kepada Allah supaya dia
sentiasa berada dalam keadaan sedar dan terjaga mata hatinya, tidak tidur dan
lalai dibius oleh kemaksiatan yang bermaharajalela. Bagaimanakah cara
menumbuhkan rasa malu kepada Allah?
l
Ingatlah kurniaan Allah.
Kadangkala
Allah merahmati hamba-Nya dengan mengirimkan ilham ke dalam hati yang terdetik
secara tiba-tiba. Pernahkah kita rasai kurniaan Allah itu semakin banyak
dilimpahkan seiring semakin tebalnya buku catatan dosa yang kita lakukan?
Mengapa
Allah membalas dosa itu dengan rezeki yang semakin banyak, pujian manusia yang
semakin melambungkan nama, jawatan semakin kukuh, kehidupan meningkat sejahtera
padahal dosa dibuat berganda-ganda banyaknya?
Orang
yang mendapat keuntungan dunia hendaklah selalu mengingati firman Allah yang
bermaksud: “Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya,
nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan
sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak
memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang
mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan.” (Surah Hud,
ayat 15-16)
Ayat
itulah yang menyebabkan Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan menyungkurkan
mukanya ke tanah lalu beliau menangis saat menghadapi sakaratul maut sambil
mengulang-ulangi bacaan ayat berkenaan.
Mengapa
Allah tidak terus menyeksa manusia pada kali pertama dia mengulangi dosanya,
lalu dicabut rezeki dan keberuntungan daripada hidupnya, ditimpa musibah dan
diazab secara langsung tanpa bertangguh?
Maha
Suci Allah yang sentiasa memberi peluang untuk manusia mengingati kurniaan-Nya.
Dialah Allah yang melimpahkan nikmat supaya mereka bersyukur dan kembali pulang,
Dia menangguhkan seksa kerana sayang kepada kita sedangkan orang yang berdekatan
dengan kita terkena bala dan musibah. Fikirkanlah ilham yang hadir dalam hati.
Belumkah lagi muncul hati yang malu milik hamba Allah yang beruntung ini?
Aisyah
pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa Baginda melakukan solat malam
sehingga kaki Baginda bengkak sedangkan Allah sudah menyucikan dirinya?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak bolehkan aku menjadi hamba yang
bersyukur kepada Tuhanku?” (Hadis riwayat al-Bukhari)
l
Telitilah aib diri.
Ada
seorang hamba yang berangan-angan masuk syurga dengan membawa sembahyang yang
dilakukan dengan lalai hingga habis waktu, puasa yang perisainya dikoyakkan
dengan dengki, pertengkaran dan perbuatan keji, haji yang dilakukannya tanpa
reda dan hilang sabar, kering ilmu dan kosong amal.
Dia
mahu mengetuk pintu syurga dengan tangannya yang berlumuran darah kerana
mengambil hak saudaranya, menjerit minta diizinkan masuk padahal mulutnya masih
berbau bangkai mayat saudaranya yang diumpat, matanya mengintai-intai taman
syurga tapi kabur oleh gelapnya bayang-bayang zina mata yang pernah dilakukannya
ketika melayari web lucah, khidmat pesanan ringkas (SMS) mesra dan jenayah
seksual yang ditatapi setiap hari.
Jika
tidak juga rasa malu melihat kekotoran diri, sekurang-kurangnya malulah bila
melakukannya secara terang-terangan. Apa akan jadi dengan dunia ini apabila
semua manusia berbuat maksiat secara terbuka dan tiada seorangpun memiliki rasa
malu melakukannya.
Rosaklah
masyarakat yang tenggelam dalam kebatilan apabila tiada yang menegakkan amar
makruf nahi mungkar di kalangan mereka. Kemaksiatan dan kejahatan manusia yang
berakhir dengan kehancuran, semuanya bermula daripada hilangnya rasa malu.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan
seorang hamba-Nya, pasti Dia mencabut rasa malu dalam dirinya, jika dicabut rasa
malu, maka kamu tidak akan menjumpainya melainkan orang itu membenci dan
dibenci. Apabila kamu tidak menjumpainya kecuali ia membenci dan dibenci,
dicabutlah rasa amanah daripadanya, maka jika dicabut rasa amanah, kamu tidak
menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati kemudian jika kamu tidak
menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati, dicabutlah kasih sayang
daripadanya, jika kasih sayang dicabut maka kamu tidak menjumpainya melainkan ia
dikutuk dan dilaknat, akhirnya dicabutlah ikatan keislaman darinya.” (Hadis
riwayat Ibnu Majah)
l
Lihatlah iman dan amal orang lain.
Apabila
seorang hamba berasa dirinya berada di bawah titik paling rendah dalam kadar
hitungan imannya, hendaklah ia melihat kepada ketinggian iman orang lain di
sekelilingnya. Perhatikan hamba Allah yang khusyuk berdoa sambil menangis,
walaupun hati ini keras tak tembus dengan tangisan tetapi sekurang-kurangnya
kita mahu menangisi diri sendiri kerana tidak boleh menangis.
Betapa
malunya membandingkan kejahilan diri kita dengan ulama, kemalasan kita dengan
orang yang ihsan, riak yang terpalit di hati ini bandingkanlah dengan sifat
ikhlas yang menghiasi jiwa orang lain.
Orang
kaya yang bersedekah satu gantang berasa malu melihat orang miskin boleh
bersedekah 10 kali ganda daripadanya. Semua orang mukmin yang mulia akhlak dan
kuat ibadatnya serta luas kefahaman ilmunya menjadi teladan untuk kita.
Pandanglah
mereka dengan penghormatan dan kemuliaan dan segera bandingkan dengan diri
sendiri, di manakah silapnya kita yang tidak setaraf iman dengan mereka. Jika
mereka umpama bintang, kita pula hanya lilin kerdil yang kerjanya hanya membakar
diri saja.
Di
antara orang yang malu dengan yang tak tahu malu, amat jauh beza pada pandangan
manusia apatah lagi jika Allah yang memandangnya
...